RUMUSAN LANSKAP PENDIDIKAN SWASTA

INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA

Institusi Pendidikan Swasta (IPS) ialah institusi pendidikan bukan kerajaan dan bukan bantuan kerajaan yang menawarkan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga peringkat lepas menengah (pra-universiti). IPS dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan menjalankan kurikulum yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

KATEGORI INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA

Tadika Swasta

  • Menawarkan pendidikan prasekolah kepada murid berumur 4+ dan 5+ di premis yang mempunyai 10 atau lebih murid.
  • Menjalankan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) KPM.
  • Program tambahan hendaklah mendapat kelulusan KPM

Pusat Tuisyen

  • IPS yang khusus menawarkan perkhidmatan bimbingan atau persediaan murid menduduki peperiksaan yang berdasarkan kurikulum kebangsaan.

Pusat Bimbingan

  • Menawarkan pendidikan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Pusat Kemahiran / Pusat Latihan

  • Menawarkan kursus jangka pendek bertaraf sijil tidak melebihi 3 bulan atau 20 jam kredit (bagi satu tahap).

Pusat Bahasa

  • Menawarkan kursus bahasa yang tidak melebihi 3 bulan atau 20 jam kredit (bagi satu tahap).

Pusat Perkembangan Minda

  • Menjalankan program pendidikan untuk perkembangan minda menggunakan metodologi tertentu seperti berdasarkan penggunaan alat, alat muzik dan pelbagai teknik dalam pengiraan atau penulisan

Sekolah Rendah/Menengah Akademik

  • Sekolah yang menawarkan pendidikan wajib peringkat rendah bagi murid berusia 7 hingga 12 tahun dan pendidikan peringkat menengah bagi murid berusia 13 hingga 19 tahun. Kurikulum yang digunakan ialah kurikulum kebangsaan.

Sekolah Rendah/Menengah Agama

  • Sekolah yang menawarkan pendidikan wajib peringkat rendah bagi murid berusia 7 hingga 12 tahun dan pendidikan peringkat menengah bagi murid berusia 13 hingga 19 tahun. Kurikulum yang digunakan ialah kurikulum kebangsaan dan/atau program tambahan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri

Sekolah Pendidikan Khas

  • Menawarkan program pendidikan formal untuk murid berkeperluan pendidikan khas menggunakan kurikulum kebangsaan.

Sekolah Antarabangsa

  • Sekolah yang menawarkan kurikulum negara luar dan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sekolah ini menerima masuk murid warganegara dan bukan warganegara

Sekolah Ekspatriat

  • Sekolah yang menggunakan kurikulum dan bahasa pengantar rasmi negara asal untuk memberikan pendidikan khususnya kepada komuniti negara itu dengan kebenaran kedutaan.

Sekolah Menengah Persendirian Cina

  • Menawarkan program pendidikan formal peringkat menengah menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.
  • Dikawal selia oleh Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS) Examination Board.