Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Suara Anda

Salam Sejahtera,

Sekiranya anda mempunyai sebarang idea, cadangan, pertanyaan atau komen semasa melayari Portal KPM sila emelkan kepada kpkkpm@moe.gov.my

 
 NO
 
PENGADU 
TARIKH
  MEDIUM  
PERTANYAAN 
JAWAPAN 
 1  Mode Middle Change   Facebook

Kerajaan mesti memastikan sekolah yang uzur diganti dengan bangunan baru supaya murid selesa untuk belajar tanpa mengira jenis aliran sekolah. Pastikan pelajar selesa untuk belajar. 

Salam Sejahtera, terima kasih di atas keprihatinan dari pihak tuan. Pihak KPM mengambil maklum mengenai perkara ini.

2 Syazwan Hassan   Facebook

Disamping bimbingan yang baik dari ibubapa di rumah saya sangat bersetuju sekiranya pihak KPM juga dapat menambah baik kurikulum sekolah yang menerapkan pembentukan sahsiah diri dan displin anak-anak pada peringkat usia muda ini di sekolah supaya apabila mereka  memasuki alam sekolah menengah anak-anak ini akan menjadi lebih berdisplin dan mempunyai sahsiah diri yang cemerlang seperti dari segi pertuturan, kelakuan sopan dan rajin berdikari. Sikap yang cemerlang akan menjadikan anak-anak cemerlang dari pelbagai sudut di dalam kehidupan mereka nanti.

Salam Sejahtera, terima kasih di atas pendapat dan idea yang bernas dari pihak puan. Pihak KPM mengambil maklum mengenai perkara ini.

3 Pak Meon   Facebook

Saya ingin meminta agar pihak KPM  dapat menitikberatkan mengenai isu masa untuk menjawab soalan MATEMATIK UPSR pada tahun ini dan masa akan datang. Hal ini kerana ramai murid yang mengadu dan menangis di atas mereka tidak sempat untuk menjawab kertas MATEMATIK dek kerana mungkin soalan yang mencabar dan tidak setaraf dengan pemikiran mereka ini. Ini mungkin menyebabkan mereka menjadi stress memikirkan berkaitan masa yang tidak mencukupi. Sehubungan dengan itu saya ingin meminta pihak KPM dapat memikirkan kembaliisu ini. Mohon maaf jika ada kesalahan bahasa. Sekian, terima kasih.

Salam Sejahtera, terima kasih di atas maklumbalas dari pihak tuan. Pihak KPM mengambil maklum mengenaik perkara ini.
4 Nor Hidayah Ibrahim   Facebook Salam KPM.. Boleh saya tahu bila akan keluar result penempatan negeri bagi calon temuduga April 2018? DG41 Calon Universiti Awam. Terima kasih

Salam Sejahtera, Pohon rujuk Portal Rasmi KPM dari semasa ke semasa untuk maklumat terkini. Terima kasih

5 Nur Hidayah binti Kasim 06/09/2021 E-mel Hai, saya nur hidayah binti kasim
Saya ada menghantar borang yang diperlukan untuk mendaftar SPM, bagaimana saya ingin tahu borang saya diterima atau tidak, dan juga saya ingin tahu adakah saya punya pendaftaran diluluskan, sekiranya diluluskan apakah langkah yang saya perlu buat seterusnya
 
Terima kasih.

Untuk makluman puan, pendaftaran SPM 2021 adalah secara dalam talian dan dikenakan bayaran lewat daftar sebanyak RM 150. Mohon rujuk panduan permohonan di http://sppat.moe.gov.my/
 
Lembaga Peperiksaan merakamkan terima kasih atas kepercayaan kepada pihak kami memberi pencerahan kepada pertanyaan yang diajukan.

6 Lee Jia Yee 15/09/2021 Borang Laman Web Salam sejahtera,
 
Saya merupakan pelajar siswazah yang sedang mengikuti pengajian penyelidikan di sebuah IPTA, Malaysia.
 
Saya ingin memohon data senarai prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bawah KPM mengikut negeri, termasuk bilangan guru prasekolah dan bilangan kelas terkini. Untuk makluman, senarai sekolah rendah yang dipapar dalam laman KPM tidak mempunyai maklumat bil kls dan guru.
Perhatian daripada pihak Tuan saya mendahului terima kasih.
 
Sekian.
 
Bahagian ini mengambil maklum akan permohonan puan berkaitan data pra sekolah terkini yang diperlukan bagi tujuan pengajian penyelidikan puan. 

 
Sukacita dimaklumkan bahawa semua perkara berkaitan penyelidikan, perlulah dibuat melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian ini juga ingin memaklumkan bahawa perkongsian maklumat atau data KPM adalah bersifat terhad, justeru penyaluran maklumat mestilah dibuat mengikut tatacara serta saluran yang telah ditetapkan.
 
Sehubungan dengan itu, puan dinasihatkan untuk menghubungi bahagian yang berkaitan (BPPDP) bagi mendapatkan pandangan dan maklumat lanjut berkaitan perkara ini.

Sekian, terima kasih.

7 Azirul Hisyam 15/09/2021 Borang Laman Web Minta maaf saya nak bertanya pada yang ada jawapan.
 
Ada tak KKM & KPM sudah mengeluarkan garis panduan atau SOP untuk Maahad Tahfiz & Sek Pondok?
 
Maksud saya ada tak arahan untuk mewajibkan semua Ustaz² & Ustazah² pun mengambil vaksin sebelum class bermula?
 
Kalau Sekolah² mewajibkan semua tenaga pengajar mengambil vaksin, saya rasa Pihak Maahad Tahfiz atau semua sekolah² Pondok pun mesti langkah yang sama untuk menbendung penularan ini.

Merujuk kepada pertanyaan tuan, sukacita dimaklumlkan bahawa penetapan vaksinasi kepada guru, Anggota Kumpulan Pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan dibuat untuk semua yang bertugas di institusi pendidikan yang berdaftar bawah KPM. Walau bagaimanapun, untuk faktor keselamatan KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.
 
BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH HARIAN merakamkan terima kasih atas kepercayaan kepada pihak kami memberi pencerahan kepada pertanyaan yang diajukan.

8 Zanti Mohamed 17/09/2021 Borang Laman Web Assalamualaikum wbt;
 
Mohon pertanyaan samada KOL . TEKN/POLI MALAYSIA dikenali sebagai Kolej Vokasional Malaysia.
 
Jika Ya. Adakah nama KOL . TEKN/POLI MALAYSIA boleh ditukar kepada Kolej Vokasional Malaysia untuk urusan rasmi.
 
Terima kasih.

Kolej Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia adalah di bawah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia yang menawarkan program bermula dari Sijil Vokasional Malaysia sehingga peringkat Diploma Vokasional Malaysia selain diberikan juga Sijil Kemahiran Malaysia bagi pelajar yang layak dan lulus. Pengambilan bermula pada umur 16 tahun iaitu pelajar lepasan Tingkatan 3 bagi Sekolah Kerajaan atau Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Manakala Politeknik Malaysia pula berada di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi yang menawarkan program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar lepasan SPM. Kedua-dua institusi ini adalah dua entiti yang dan di bawah kementerian yang berlainan serta tidak berkait antara satu sama lain.
 
Sekian.

9 Mohd Azril Dollah 20/09/2021 E-mel Assalamualaikum dan salam keluarga Malaysia,
 
Saya ingin tahu tentang permohonan SBP ke tingkatan 1 tahun 2022 serta cara untuk memohon.
 
Terima Kasih

Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus ( PKSK) bagi tujuan kemasukan murid Tingkatan Satu dan Tingkatan 4 ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD). Maklumat lanjut mengenai permohonan kemasukan ini boleh diakses melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bermula pada tarikh yang akan diumumkan kelak di portal KPM.

10 azuin1982 22/09/2021 E-mel Salam sejahtera,

Berkenaan pembukaan tadika swasta bermula 17.9.2021 bagi Negeri fasa 1 dan 2 sama sahaja, bukan semua ibubapa dapat menghantar anak-anak mereka ke tadika, ini kerana memerlukan surat majikan dan surat sumpah bagi yang bekerja sendiri.Mengapa perlu syarat begitu sedangkan ada sahaja ibu atau bapa yang tidak bekerja yang inginkan anak mereka ke tadika setelah sekian lama pdpr dirumah. Ini juga untuk perkembangan mental anak-anak yang sudah lama belajar dirumah dan tidak sama sekali pembelajaran di tadika. Ibu bapa juga perlu membayar yuran penuh sama sahaja yang hantar anak atau yang pdpr dirumah. Dari segi ini berlakunya ketidakadilan dan membuatkan keputusan berat sebelah. Adakah wajib ibubapa bekerja untuk hantar anak ke tadika untuk menuntut ilmu ,jikalau begitu perlu juga buat peraturan begitu untuk yang ke sekolah. Apakah fungsi sekolah/tadika, tempat untuk anak-anak menuntut ilmu, tidak perlu nak tunggu ibubapa bekerja kedua-duanya. Saya berharap pihak KPM membuat kajian semula berkenaan perkara di atas dan mendapat keputusan yang terbaik bagi kedua belah pihak supaya tidak berlaku perbalahan diantara ibubapa dan pihak tadika swasta.

Pengoperasian Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak dalam Pelan Pemulihan Negara bagi negeri -negeri dalam fasa 1 dan 2 memberi kelonggaran kepada semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat serta pusat perkembangan minda untuk murid 4 hingga 6 tahun dibenarkan beroperasi untuk anak-anak yang ibu bapa / penjaga bekerja.  Ini juga mengambil kira bahawa di negeri-negeri dalam fasa tersebut kebanyakan majikan sudah mula menetapkan kehadiran pekerja sebanyak 60 hingga 80% ke tempat kerja.  

Sekiranya Puan bekerja sendiri puan hanya perlu menulis surat kepada pihak tadika menyatakan bahawa puan perlu bekerja.  Puan sentiasa mempunyai ruang untuk berbincang dengan pihak pengurusan tadika berkaitan hal ini.

11 cikgu.hazimah 30/09/2021 Borang Laman Web Pengetua sekolah saya telah menerangkan SOP bagi guru belum lengkap/ menolak vaksin. Beliau menyatakan bahawa guru tersebut perlu menjalani ujian PCR 3 hari sebelum hadir. Kemudian, ujian air liur juga perlu dibuat 2x seminggu walaupun tiada gejala. Saya keliru dan ingin bertanya adakah ini SOP yang benar dibuat oleh KPM? SOP ini tidak dinyatakan secara jelas dalam GARIS PANDUAN PENGOPERASIAN PEMBUKAAN SEKOLAH 3.0 di laman web KPM. Jadi saya inginkan kepastian. Merujuk kepada pertanyaan puan, sukacita dimaklumkan bahawa KPM telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang turut merangkumi maklumat berkaitan vaksinasi guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) serta pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah. 
 
Sehubungan dengan itu, puan dimohon untuk merujuk kepada garis panduan tersebut (Perkara 2, muka surat 13) yang jelas menerangkan berkaitan status vaksinasi warga sekolah. Sebarang perubahan atau maklumat terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan oleh KPM dari semasa ke semasa.
 
Perhatian puan dalam perkara ini amat dihargai.

Sekian.

12 Noor Adnin 05/10/20201 Borang Laman Web

Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP)

Permohonan untuk memasuki program PDPP tersangkut pada laman permohonan-tidak dapat mengisi butiran pilihan bidang pengajian di laman permohonan. cubaan telah dibuat selama 3 hari. dari tarikh 1-4/10/2021.

Institut Pendidikan Guru Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Puan di atas kepercayaan kepada pihak kami dalam mengendalikan aduan ini.
 
Berdasarkan aduan Puan, Puan boleh menghubungi Jabatan Pengambilan dan Penempatan (JPP), Pusat Hal Ehwal Pelajar, IPGM di talian 03-8312 6720/ 6693/ 6731/ 6768/ 6719/ 6760 bagi mendapatkan bantuan teknikal.
 
Sekian, terima kasih
 
13 Suriani 12/10/2021 Borang Laman Web

Bantuan Pengusaha Kantin Sekolah

Penularan wabak Covid yang berlaku sejak mac 2020 telah memberi kesan yang sangat teruk kepada pengusaha kantin sekolah di sebabkan pihak kami terpaksa menghentikan perniagaan walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran kepada rakyat untuk brrniaga. Pihak kami akur dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan pembelajaran di rumah demi keselamatan anak2 serta menghargai bantuan pengecualian sewa. Namun bil elektrik untuk chiller dan freezer tetap berjalan kerana tidak boleh ditutup disebabkan ia akan rosak jika tidak beroperasi. Pekerja2 terpaksa diberhentikan. Pihak pengusaha tidak dapat balik modal awalan kos pengubahsuaian kantin. Kos pembungkusan yang meningkat semasa kantin dibuka mengikut norma baru terpaksa ditanggung pihak kami.

Memohon agar diberi perhatian isu pengusaha kantin sekolah dengan memberi kami bantuan kewangan serta bimbingan cabang perniagaan yang bole kami sertai untuk meneruskan perniagaan dan berbakti untuk anak anak murid.

Merujuk kepada pertanyaan tuan, bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pengusaha-pengusaha kantin KPM telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti berikut:

i. Menyalurkan Bantuan Kewangan

  • Bantuan tunai secara one–off sebanyak RM1,500.00
  • Bantuan tunai secara one–off sebanyak RM1,000.00 pakej PEMULIH.
ii. Bagi penyewaan kantin sekolah, KPM telah memberikan empat kali pengecualian sewa seperti berikut :
 
  • Kali pertama melibatkan sewaan Mac 2020 hingga Ogos 2020 (Pengumuman YAB Perdana Menteri);
  • Kali kedua melibatkan sewaan bermula 1 September 2020 hingga 30 November 2020 ( Edaran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian);
  • Kali ketiga melibatkan sewaan bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021 (Edaran Bahagian Pengurusan Aset); dan
  • Kali keempat melibatkan sewaan bermula 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021. (Edaran Bahagian Pengurusan Aset)
 
iii. KPM juga telah meluluskan penyambungan kontrak sewaan kantin sekolah secara automatik selama setahun bagi kontrak asal yang sedang berkuatkuasa bagi tahun 2021 atau 2022.
 
Bahagian Pengurusan Aset merakamkan terima kasih atas kepercayaan kepada pihak kami memberi pencerahan kepada pertanyaan yang diajukan.
 
Sekian, terima kasih.
 
14 Nur Intan Liyana 14/10/2021 Borang Laman Web

Pembukaan Semula Sekolah

Saya ingin membuat aduan berkaitan penutupan sekolah dan pembelajaran secara PDPR. Kami berharap pihak KPM mengambil langkah yang kreatif bukan dengan cara menutup sekolah dan meneruskan pdpr kepada pelajar sekolah rendah. Buka sekolah kepada pelajar berkeperluan seperti pelajar asrama, pelajar yang ingin kelas fizikal kerana tiada kemudahan peralatan komunikasi dan persekitaran yang tidak kondusif untuk pembelajaran di rumah (rumah berkongsi bilik, adik beradik ramai, tiada line data, rumah buruk dan lain2). Jika ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah boleh meneruskan sesi pdpr di rumah. Guru boleh membuka video GM bersama mereka ketika didalam kelas bersama2 murid berkeperluan khas. Ini umpama seprti keadaan sektor ekonomi bukan semua boleh online sahaja. Ada keperluan face to face (mengikut sop). Saya pernah berkhidmat guru ganti tiada masalah untuk menbuat video gm dismping mengajar pelajar di kelas secara fizikal. Barulah tiada isu makan gaji buta. Silalah lebih proaktif dan kreatif untuk memacu semula pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak puan di atas kepercayaan kepada pihak kami dalam mengendalikan aduan ini.
 
Untuk makluman puan, negara kita dalam proses peralihan daripada situasi pandemik kepada endemik. Keadaan endemik COVID-19 ini akan sentiasa ada di sekeliling kita, justeru pelbagai kaedah dan pendekatan perlu dirancang dengan baik oleh KPM untuk memastikan anak-anak dapat meneruskan pendidikan dengan selamat. Bilangan kes harian juga tidak boleh lagi menjadi faktor utama yang diambil kira. Sebaliknya rakyat perlu melihat kepada indikator nilai ambang yang telah ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
 
Seperti mana pihak puan sedia maklum, pengoperasian semula sekolah secara bersemuka telah pun bermula secara berperingkat mengikut negeri dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai 3 dan 4 Oktober 2021 yang lalu. Sehingga kini, semua negeri telah pun berada dalam Fasa 3 dan 4 PPN, justeru lebih 50% sekolah telah mula beroperasi secara bersemuka. Bilangan kelas dan  murid yang akan kembali ke sekolah juga akan bertambah dari semasa ke semasa apabila pengoperasian sekolah untuk peringkat kedua bagi negeri dalam Fasa 4 PPN bermula tidak lama lagi. 
 
Dalam hal ini juga, KPM sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan kementerian, agensi serta wakil-wakil komuniti dan ibu bapa untuk mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum sebarang keputusan pembukaan semula sekolah dibuat. Ini termasuklah dari aspek prosedur operasi standard (SOP), kadar vaksinasi warga sekolah, bilangan kehadiran murid, penggiliran serta penyuraian murid. 
 
Sokongan dan keprihatinan semua pihak dalam memastikan murid dapat belajar dalam keadaan selamat dan selesa amat dihargai.  
 
Sekian, terima kasih.
 
 15  Teo Shui Sien  21/10/2021 Borang Laman Web SJKC TAI THUNG - Tiada Jalan Keluar Masuk Yang Selamat

Saya sebagai ibubapa kepada anak saya yang belajar di SJKC Tai Thung ingin mengadu bahawa jalan keluar masuk sekolah sedia ada telah dipagarkan sejak 23 Sep 21 dan mengakibatkan tiada jalan keluar masuk yang selamat.

Seperti yang kita sedia maklum, pihak MOE Bahagian Pembangunan telah berjanji untuk menyediakan jalan keluar masuk baru yang selamat pada 25 Oct 21. Namun Begitu, sehingga ke hari ini kerja-kerja pembinaan Jalan keluar masuk baru masih belum dijalankan.Memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula pada 1 Nov 21, saya berasa sangat bimbang dan risau berhubung isu ini.

Saya meminta pertolongan pihak tuan untuk menyelesaikan masalah ini sebelum sesi pembukaan sekolah secara bersemuma.

Ribuan terima kasih atas bantuan pihak tuan.

Merujuk kepada pertanyaan tuan, maklum balas yang dapat diberikan oleh pihak kami mengenai Isu laluan masuk ke Sekolah SJKC Tai Thung adalah isu tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Projek SMK Jalan Sungai Besi Bil. 4/2021 yang telah diadakan pada 26 Oktober 2021 dengan kehadiran agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), IPD Cheras dan Balai Polis Salak Selatan. Mesyuarat tersebut memutuskan:
 
  • Balai Polis Salak Selatan tiada halangan untuk menghantar anggota polis untuk membantu kawalan trafik di pintu masuk utama SJKC Tai Thung iaitu di Jalan Sungai Besi mulai 1 November 2021
  • Kelulusan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Bangunan telah diberikan kepada pihak Sekolah oleh DBKL pada 2016, dan jalan masuk yang diluluskan hanya di jalan pintu masuk utama 1 iaitu di Jalan Sungai Besi
  • Laporan” Road Safety Audit Stage 4” menyatakan jalan dari lebuhraya susur masuk ke Jalan Sungai Besi adalah lulus digunakan setelah service road siap dibina, ditambah dengan “Speed Hump” dan “Rumble Street”
KPM akan membuat permohonan kepada DBKL dan LLM (sekiranya perlu) untuk membuat bumper di Jalan Sungai Besi iaitu di hadapan pintu masuk sekolah
 
16   Rovenna  27/10/2021 Borang Laman Web

Link Permohonan Sekolah Berasrama Penuh Ke Tingkatan 1 Bermasalah Apabila saya klik ke link di bawah, page error 505

https://spskt1.moe.gov.my/spat1_mohon/log_masuk.cfm

Merujuk kepada pertanyaan puan, isu yang diutarakan merupakan masalah teknikal. Bahagian ini selaku urusetia memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pihak puan dan telah memajukan isu ini kepada Bahagian yang terlibat (Bahagian Pengurusan Maklumat) untuk tindakan lanjut. Berdasarkan maklum balas yang diterima, terdapat masalah pada server yang menguruskan sistem ini dan perkara ini akan diselesaikan sebelum tarikh tutup permohonan.

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh merakamkan terima kasih atas kepercayaan kepada pihak kami memberi pencerahan kepada pertanyaan yang diajukan. 

 
Sekian.Terima kasih
 
17 Tieh Siaw Siong    29/10/2021 Borang Laman Web Sekolah Antarabangsa enggan melaksanakan pembelajaran bersemuka

Anak-anak saya sedang belajar di sekolah antarabangsa INSPIROS INTERNATIONAL SCHOOL, Setiawalk, Puchong, Selangor.

Sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Kerajaan, Selangor berada dalam Fasa 4 PPN dan oleh itu, pembelajaran bersemuka dibenarkan.
 
Akan tetapi, sekolah enggan mematuhi arahan Kerajaan dan sebaliknya telah menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan maklumbalas daripada para ibu bapa sama ada mereka ingin pembelajaran bersemuka. Kami baharu dimaklumkan oleh sekolah bahawa majoriti para ibu bapa berpendapat bahawa pembelajaran dalam talian diteruskan.
 
Ini adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab. Sudah sekian lama anak-anak kita tersangkut di rumah dan arahan Kerajaan supaya pembelajaran bersemuka diteruskan haruslah dipatuhi.Lebih-lebih lagi ini adalah sebuah sekolah antarabangsa di mana yuran sekolah yang mahal dibayar oleh para ibu bapa. Sebarang keputusan sekolah tidak seharusnya ditentukan oleh pendapat para ibu bapa yang lain tetapi oleh Kerajaan khususnya Kementerian ini.
 
Sekiranya pihak bersekolah berpendapat bahawa sebarang keputusan berkenaan dengan tadbir urus sekolah hendaklah ditentukan oleh para ibu bapa, pihak sekolah sepatutnya membuat kaji selidik untuk mendapatkan maklum balas daripada para ibu bapa sama ada yuran sekolah harus dikurangkan sehingga 50% atau lebih. Ini tidak dibuat oleh sekolah.
 
Oleh itu, saya berharap pihak Kementerian akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
 
Sekian, terima kasih.
Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum mengenai aduan terhadap Inspiros International School yang kami terima kami terima pada 29 Oktober 2021.  Kami memohon maaf atas kelewatan memberikan maklum balas kepada pihak tuan berikutan jumlah aduan yang tinggi kami terima dan juga sedikit masa diperlukan untuk siasatan dan maklum balas daripada pihak sekolah tersebut.
 
Pihak sekolah juga memaklumkan bahawa sekolah tiada halangan sekiranya ibu bapa ingin menghantar anak mereka ke sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka dengan memaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu untuk melancarkan pembelajaran secara hybrid. 
 
Sehubungan dengan itu, KPM meminta agar pihak ibu bapa dan pentadbiran sekolah agar sentiasa berkomunikasi serta mengadakan libat urus secara harmoni bersama-sama ibu bapa dalam mencari penyelesaian terbaik.  
 
Sekian, terima kasih.
 
18 18 Nur 'Aina Nabila   01/11/2021 E-mel Saya, merupakan pelajar dari kolej matrikulasi ingin menyatakan beberapa aduan dan cadangan.
 
Mengapa kami tidak dibenarkan untuk pulang bercuti di rumah? Adakah hanya para guru yang ada keluarga? Kami sebagai pelajar juga ingin pulang ke rumah. Walaupun tidak kerap, kami mahu cuti pada akhir semester 1 dan pertengahan semester 2. Tidak kah agak melampau untuk tidak membenarkan kami pulang ke rumah hanya kerana tidak mahu bercampur dengan 'safe bubbles' di kolej sedangkan guru-guru, pekerja kafe dan pekerja keluar dan masuk pada setiap hari? Adakah wujud 'safe bubbles' jika mereka boleh masuk dan keluar setiap hari? Kami telah mempunyai 2 dos vaksin. Sedangkan kerajaan juga telah memberi kebenaran rentas negeri dan keluar negara, jadi mengapa kami (pelajar) tidak dibenarkan untuk pulang? Dimanakah keadilan untuk pelajar? Outing juga tidak dibenarkan. Adakah kami hanya perlu menghadap buku pada setiap masa? Kalau mahu berkata tentang pengorbanan, tidak kah kejam untuk mengurung pelajar selama beberapa bulan? 
 
Diminta pihak tuan/puan fikirkan tahap kesihatan mental pelajar.
 
Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih
Untuk makluman tuan, semua pelajar Program Matrikulasi dibenarkan pulang bercuti selepas tamat Peperiksaan Semester Program Matrikulasi Semester 1 (PSPM 1) mulai 16 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022. Pelajar tidak dibenarkan pulang bercuti di hujung minggu atau pada hari perayaan bagi memastikan pelajar berada dalam persekitaran yang selamat.
 
Walau bagaimanapun, pelajar hendaklah mematuhi Perkara 4.2, Pengurusan Murid seperti yang ditetapkan Garis Panduan Pengurusan Dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru Dan Kolej Matrikulasi 3.0 apabila kembali ke kolej kelak.
 
Sekian.
 
19 Biro Pengaduan Awam  02/11/2021  

Guru Tidak Vaksin Perlu Ambil CRK/Cuti Tanpa Gaji Serta Bayaran Kepada Guru Yang Ambil Alih Tugas Mereka.

Saya mewakili rakan rakan sejawat ingin meluahkan kekesalan pihak pentadbiran sekolah kami. Pada awal mesyuarat operasi sekolah, guru besar telah menipu guru guru dengan mengumumkan dalam mesyuarat bahawa semua guru telah divaksin. Apabila tiba hari persekolahan bermula, kami guru guru dipaksa masuk kelas menggantikan guru-guru yang enggan divaksin/AV. Sedangkan mereka ada di sekolah..tetapi tidak menjalankan tugas hakiki.sebaliknya rakan rakan yang sudah vaksin pula perlu mengambil alih tugas mereka. Rakan rakan guru vaksin akan mengambil alih tugas sekiranya guru AV mengambil cuti(ada rekod). Tetapi sebaliknya berlaku..mereka tiada rekod cuti, hadir, tapi tidak bertugas..sedangkan menerima gaji tetapi beban kerja diambil alih oleh guru bervaksin. Kami memohon agar JPA dapat membela penganiayaan terhadap kami bermula 18 oktober 2021 hingga 31 oktober 2021 yang perlu menggalas tugas guru AV. Kami mohon agar guru AV perlu dikira CRK(cuti rehat khas) sepanjang mereka telah menyusahkan kami untuk menggantikan kelas mereka..sekiranyantidak cukup kuota CRK mereka, kami mohon mereka di cuti tanpa gaji . Dengan ini, kami juga berharap agar mulai 1nov 2021 telah ada guru baharu menggantikan guru2 AV di sekolah kami agar kami tidak terus dizalimi dengan perlu menggambil alih tugas guru AV tanpa bayaran..selain itu, guru guru juga mencadangkan agar setiap kelas guru AV yang diganti perlu dibayar oleh guru AV kepada guru bervaksin. Kami tidak rela diarahkan menjalankan tugas golongan AV secara percuma

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah menjalankan siasatan kepada semua pihak yang terlibat mengikut prosedur yang telah ditetapkan berkaitan aduan guru tidak vaksin perlu ambil CRK/Cuti tanpa Gaji.
 
Pihak Jabatan Pendidikan Negeri , Negeri Sembilan menguruskan pengoperasian sekolah menggunakan Garis Panduan Pengurusan Dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Merujuk kepada pada 2.2.1(iii)  guru tidak lengkap vaksin  tidak dibenarkan melaksanakan PdP secara bersemuka. Berdasarkan arahan inilah ia menjadi asas kepada pengurusan sekolah untuk tidak membenarkan guru belum lengkap vaksin melaksanakan PdP secara bersemuka. Walau bagaimanapun, pengetua dan guru besar telah memberikan tugasan lain yang tidak memerlukan mereka bersemuka dengan murid dan tidak berada dalam kawasan yang sama dengan guru-guru yang telah divaksin.
 
Pihak kami juga akan menggunakan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 bertarikh 18 Oktober 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk makluman dan perhatian bersama. Pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 akan bermula pada 1 November 2021. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan akan berusaha memastikan pengoperasian sekolah dan tindakan susulan dilaksanakan mengikut garis panduan dan pekeliling berkuatkuasa.
 
Sekian, terima kasih.
 
20 Puan Zuraidah  22/11/2021 E-mel Cara Memohon Pengangguhan Ke Darjah 1 Pada Tahun 2023

Salam Sejahtera & Asssalammualaikum.

Saya puan Zuraidah ibu kepada anak yang lahir pada 01 Januari 2017 dari Sarawak. Di tahun ini saya baru saja mendaftar anak saya untuk mengikuti Tadika untuk kemasukan pada 2022 dan saya ingin anak saya mengikuti tadika selama 2 tahun, Untuk bersama dengan rakan yang sama lahir pada 2017
 
Saya ingin membuat pemohanan itu kerana pihak tadika memberitahu kepada saya bahawa pada usia anak saya 6 Tahun ia perlu ke darjah 1 pada tahun 2023. Kerana ia lahir pada 1 haribulan.
 
Saya telah pergi ke pejabat pendidikan terdekat untuk mendapat borang pengangguhan itu dan di dalam borang itu memerlukan pengesahan doktor. Adakah ia memang mewajibkan pengesahan doktor 
untuk kelayakan itu walaupun seseorang kanak itu tidak mempunyai masalah ?
 
Tujuan saya ingin memohon pengangguhan itu kerana saya tidak yakin anak saya boleh membawa diri dan menerima pembelajaran budak darjah 1 yang berusia 6 tahun dan saya tidak hantar ia bersekolah ia pada usianya 4 tahun kerana pada tahun ini keadaan covib di lepas amat membimbangkn dan bahaya sisi persekolah di tangguhkah.
 
Dan saya ingin bertanya bolehkan saya membuat rayuan untuk pengangguhan itu dengan surat rayuan dan pengesahan dari guru tadika anak saya nanti.
 
Harap pihak anda boleh membantu saya.
 
Terima Kasih

Untuk makluman pihak tuan, berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 10/1998 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM): Panduan Tentang Umur Masuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Serta Menduduki Peperiksaan Bagi Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta dan SPI Bil. 3/2001 KPM: Pindaan Bagi Para 2 SPI Bil. 10/1998 Panduan Tentang Umur Masuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Swasta, kemasukkan ke Tahun 1 bagi kohort tahun 2022 adalah bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2016 sehingga 1 Januari 2017.

Penangguhan ke Tahun 1 adalah merupakan satu pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib berdasarkan kohort umur yang diberikan kepada kanak-kanak yang memerlukannya. Namun demikian, penangguhan ini hanyalah satu keistimewaan dan bukannya hak. Persekolahan biasa adalah diutamakan kepada kanak-kanak kerana ia merupakan satu cara kanak-kanak berinteraksi di antara satu sama lain. Antara dokumen yang diperlukan bagi permohonan penangguhan adalah salinan asal laporan doktor. Laporan perubatan daripada pengamal perubatan yang berdaftar merupakan suatu dokumen yang mengesahkan sama ada anak tuan boleh meneruskan persekolahan mengikut kohort umur atau belum mencapai tahap yang sesuai untuk mengikuti persekolahan mengikut kohort umur yang sepatutnya. 

Oleh yang demikian, bagi permohonan penangguhan pendidikan wajib tuan tidak dapat dipertimbangkan kerana pihak tuan tidak dapat mengemukakan justifikasi serta dokumen-dokumen berkaitan yang munasabah berdasarkan prinsip utama penangguhan pendidikan wajib.  

Sekian.
21 Jacqueline Rimbu
 
 
01/03/2022 Borang Laman Web

Petukaran Sekolah

Salam, saya ibu kepada anak yang minta untuk tukar sekolah ,tapi sampai sekarang surat belum dapat kabar

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tuan di atas kepercayaan kepada pihak kami dalam mengendalikan aduan ini.
 
Untuk makluman pihak tuan, siasatan dalaman berkaitan kes ini telah dilaksanakan dan tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan kualiti perkhidmatan pendidikan di lokasi yang terlibat dapat ditingkatkan selaras dengan dasar kualiti Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
 
Tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut:
 
Permohonan telah diluluskan oleh Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Sarawak pada 04 Mac 2022. Surat kelulusan telah dihantar ke PPD Selangau melalui emel pada 08 Mac 2022.
 
Sekian, terima kasih.
 
22    Norzailan Mohd Noor 01/03/2022 Borang Laman Web Tidak Menerima Tarikh Peperiksaan Kemasukan Ke Kolej Vokasional

Selamat Sejahtera.

Tuan,
 
Merujuk kepada permohonan anak saya untuk memasuki Kolej Vokasional Kuala Selangor, bertarikh pada 10 November 2021.
 
Untuk makluman tuan, sehingga ke tarikh 26/02/2022 saya tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan peperiksaan bertulis (PKSK). Walau bagaimanapun, pada tarikh hari ini (27/02/2022) apabila anak saya membuat semakan secara atas talian berkaitan pengambilan peperiksaan bertulis (PKSK) yang dijadualkan pada 08 FEBRUARI 2022, di mana tarikh nya telah pun terlepas.
 
Untuk pengetahuan tuan, anak saya telah membuat semakan hampir setiap hari melalui sistem atas talian untuk mendapatkan maklumat berkaitan peperiksaan ini. Namun, tiada apa-apa informasi yang anak saya dapat melalui sistem atas talian tersebut termasuk tarikh pengambilan peperiksaan bertulis (PKSK) tersebut.
 
Sehubungan itu, saya memohon jasa baik pihak tuan untuk mempertimbangkan permohonan kemasukan anak saya ini kerana perkara di atas kemungkinan besar merupakan kesilapan teknikal. Saya berharap pihak tuan dapat menyediakan satu tarikh baru untuk mengambil peperiksaan bertulis (PKSK) tersebut.
 
Sekian, Terima Kasih.
 
Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tuan di atas kepercayaan kepada pihak kami dalam mengendalikan aduan ini.
 
Untuk makluman pihak tuan, siasatan dalaman berkaitan kes ini telah dilaksanakan dan tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan kualiti perkhidmatan pendidikan di lokasi yang terlibat dapat ditingkatkan selaras dengan dasar kualiti Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional.
 
Tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut:
 
a) Telah memaklum kepada organisasi yang terilbat. Pihak KV Kuala Selangor telah memaklumkan dan memberi tawaran kemasukan ke KV Kuala Selangor kepada anak penjaga.
 
Sekian, terima kasih.
23    Marni Izzati 02/03/2022 E-mel Ralat Pada Website E-Prasekolah

Salam tuan/puan, 

Mohon pencerahan bagi ralat kegagalan untuk saya menghantarkan permohonan prasekolah tahun 2023 melalui website https://eprasekolah.moe.gov.my/
 
Rujuk lampiran di bawah untuk selanjutnya. 
 
Terima kasih
Bahagian Pengurusan Maklumat merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tuan puan di atas kepercayaan kepada pihak kami dalam mengendalikan aduan ini.
 
Untuk makluman, pihak kami telah mengambil tindakan berkenaan dengan isu session tamat dengan cepat dan isu tersebut telah berjaya diselesaikan pada tengah hari Selasa, 2 Mac 2022. 
 
Sebarang pertanyaan lanjut, pihak tuan puan boleh menghubungi Unit Aplikasi Murid melalui talian telefon 0388843782.
 
Sekian, terima kasih.
 
24 Jue Zuraida 03/03/2022 E-mel

Masalah Beg Berat Pelajar Pelajar Sekolah

Merujuk kepada perkara di atas,saya meminta penjelasan daripada pihak tuan untuk memberi jalan penyelesaian atau cara terbaik untuk mengurangkan beban anak-anak ke sekolah.

Saya rasa pihak kementerian sedia maklum,perkara ini telah tular sekian lama di media sosial,ramai ibu bapa berang dan ramai yang memberi buah fikiran agar pihak tuan cuba sekurang-kurangnya menanganinya di peringkat awal lagi . Adakah pihak kementerian dan pihak sekolah ada berbincang duduk semeja untuk mencari jalan supaya masalah ini boleh di atasi?
 
Tidakkan pihak kementerian dan sekolah terfikir,setidaknya cuba kurangkan jumlah pelajaran harian,jadi tidak lah terjadi lambakan buku perlu di bawa ke sekolah. Pada pendapat saya jumlah pelajaran hanya sebanyak 4 pelajaran sudah memadai,jadi sebelum rehat 2 pelajaran & selepas rehat 2 pelajaran sudah cukup.
 
Saya mendapat info,pihak ppd ada keluarkan pekeliling kepada sekolah untuk cuba menangani masalah beg berat ni.Jadi adalah masalah ini di bawah sepenuhnya atas bahu pihak sekolah? Jadi mengapa bila saya bertanyakan kepada guru besar sekolah tiada jawapan yang di berikan?
Tahun 2022 sudah datang,di harap tahun ni tiada lagi masalah lama timbul & pihak kementerian berlapang dada untuk menerima teguran atas kebaikan & kebajikan anak-anak.
 
Terima kasih.
 
Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan merakamkan terima kasih atas kepercayaan kepada pihak kami memberi pencerahan kepada aduan yang diajukan. 
 
Bagi menjawab permasalahan ini, tuan/puan bolehlah merujuk Kenyataan Media yang dijelaskan oleh YBMK Pendidikan berdasarkan beberapa kajian yang telah dibuat oleh KPM.  Bersama-sama ini juga dilampirkan Kenyataan Media yang dimaksudkan untuk rujukan tuan/puan.
 
Semoga jawapan yang diberikan dapat membantu tuan/puan dalam perkara ini.
 
Sekian, terima kasih.
 
25  Rustinah Mahat  07/03/2022 Borang Laman Web

Pendaftaran My Kid Anak Tidak Dapat Akses Ke Sistem

Saya warganegara Malaysia ingin membuat pendaftaran murid tahun 1 sesi 2024.

Tetapi sistem KPM tidak dapat diakses menggunakan nombor my kid anak saya.. sistem menyatakan saya perlu memasukkan nombor my kid yang betul.. saya telah memasukkan nombor my kid yg betul berulang kali dan sistem masih menyatakan sila masukkan nombor my kid dengan betul sehubungan dengan itu saya telah membuat aduan kepada JPN untuk bertanyakan tentang nombor my kid anak Saya adakah sama seperti dalam sistem JPN.
 
JPN telah memberi maklum balas bahawa nombor my kid anak saya adalah sama seperti dalam sistem JPN.Sehingga kini Saya belum dapat membuat pendaftaran murid tahun 1 sesi 2024 saya berharap pihak KPM dapat membantu Saya dalam masalah ini.
 
Merujuk kepada pertanyaan tuan puan, maklum balas yang dapat diberikan oleh pihak kami adalah seperti berikut:
 
Untuk makluman tuan puan, bagi khidmat bantuan pendaftaran sila hubungi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menerusi talian 03-55186517 atau 03-55106477. 
 
SEKTOR PENGURUSAN SEKOLAH JPN SELANGOR merakamkan terima kasih atas kepercayaan kepada pihak kami memberi pencerahan kepada pertanyaan yang diajukan. Jika ada sebarang pertanyaan, tuan puan boleh menghubungi:
 
Nama Pegawai : Razila binti Kasmin
Jawatan :Penolong Pengarah
Sektor/Unit Bertugas :Sektor Pengurusan Sekolah / Unit Prasekolah dan Rendah
No Telefon :03-55106477
 
Sekian.
 
26

Ahmed Darwish

16/03/2022 Borang Laman Web

Masalah Teknikal Untuk Membuat Rayuan Ke SBP

Saya cuba membuat rayuan ke SBP dan didapati terdapat masalah teknikal yang dipaparkan di skrin. Saya sudah membuat percubaan banyak kali namun tetap gagal.

masa: 15hb Mac sekitar pukul 12 tgh malam, dan pukul 2 petang

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan terima kasih atas minat dan kepercayaan pihak tuan terhadap sistem pendidikan yang ditawarkan oleh Sekolah Berasrama Penuh (SBP)  di bawah pengurusan KPM.

KPM mengambil maklum berkaitan persoalan yang dikemukakan oleh pihak tuan. Pihak KPM  mohon maaf atas masalah teknikal pada masa tersebut. Walau bagaimanapun KPM  memohon pihak tuan mengulangi proses permohonan e-rayuan tersebut memandang tarikh pemohonan e-rayuan bermula pada 15 sehingga 29 Mac 2022. 
 
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung kemasukan ke SBP, pihak tuan boleh menghubungi talian telefon seperti berikut:
 
Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) – 038321 7400
 
Sekian,terima kasih.
 
26

Nafizah

21/03/2022 Borang Laman Web

Pelupusan Buku Teks Yang Lusuh

Saya ingin membuat aduan tentang buku-buku teks sekolah yang sudah rosak, koyak, lusuh dan banyak contengan ini dilupuskan. Agar murid-murid dapat menggunakan buku tersebut dengan baik. Sekiranya keadaan buku yang murid dapat rosak, berkemungkinan murid tiada minat untuk membaca buku tersebut. Saya berharap pihak KPM dapat mengambil tindakkan yang sewajarnya. Minta pihak tuan/puan dan pihak-pihak sekolah ambil serius tentang hal ini.

Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima aduan daripada pihak tuan berkenaan pelupusan buku teks yang lusuh.
 
Sebagai makluman, BSTP telah mempunyai tatacara pelupusan seperti yang terkandung dalam Jadual Pelupusan Rekod yang dibangunkan bersama Arkib Negara Malaysia dan diluluskan penggunaanya berkuat kuasa 1 Februari 2013. Pihak sekolah yang sedia maklum mengenai tatacara ini dan akan memohon pelupusan sekiranya diperlukan seperti yang termaktub di dalam Buku Panduan Pengurusan SPBT. Pengurusan SPBT di sekolah juga menekankan tentang buku teks yang rosak atau lusuh dan akan menggantikan buku teks yang lusuh dengan naskhah yang baru/elok.
 
Sekian.
 

Terima kasih.

Hits : 29023