Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bulan Disember 2024

Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bulan Disember 2024

 

19 Disember 2024 | Khamis

 

Pagi ini telah berlangsung acara Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

 

Dalam acara perhimpunan bulanan terakhir bagi tahun 2024 ini, YB Menteri Pendidikan telah berkongsi pencapaian terkini inisiatif Reformasi Pendidikan yang sedang giat berjalan di setiap peringkat.

 

Menerusi pelaksanaan pengesanan tahap literasi dan numerasi yang melibatkan seramai 448,113 orang murid Tahun 1, KPM telah mengenal pasti 122,062 orang murid yang belum menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M). Selepas tiga bulan intervensi dijalankan, seramai 48,308 murid telah berjaya menguasai 3M.

 

YB Menteri Pendidikan turut berkongsi keberhasilan lain pelaksanaan Reformasi Pendidikan yang memfokuskan kepada enam hala tuju utama iaitu intervensi kurikukum, penyelarasan prasekolah, pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

 

Mengulas mengenai situasi banjir baru-baru ini, YB Menteri Pendidikan memaklumkan KPM telah mengambil keputusan yang tepat untuk meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira semua faktor dan dilakukan secara musyawarah bersama-sama dengan Pengurusan Tertinggi dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terlibat serta berpandukan kepada prosedur standard operasi dan nasihat pihak berkuasa.

 

Walaupun berdepan situasi banjir, kehadiran calon untuk menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM di negeri terjejas telah menunjukkan peratusan yang lebih tinggi berbanding paras kehadiran keseluruhan.

 

Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada seluruh warga KPM, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, agensi-agensi lain, penjawat awam, badan bukan kerajaan dan seluruh masyarakat yang telah bersama-sama berganding bahu memastikan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM dapat berjalan lancar dalam situasi banjir

Hits : 63