Latar Belakang TVET
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang berkaitan. TVET menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat yang meliputi peringkat sekolah menengah, lepasan sekolah sehingga ke tenaga kerja di industri melalui latihan berasaskan pekerjaan serta latihan berterusan dan pembangunan profesional.
TVET memainkan peranan signifikan dalam membangunkan bakat tersedia masa hadapan bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat berkualiti untuk merealisasikan agenda besar negara. Oleh itu, Kerajaan secara berterusan memberi penekanan terhadap TVET kerana sedar akan permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan seiring dengan peredaran teknologi yang amat pantas sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat global. TVET menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ bagi melahirkan tenaga mahir tempatan yang secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Berdasarkan definisi TVET ini, skop TVET perlu merangkumi perkara-perkara berikut:
TVET KPM
KPM merupakan salah sebuah Kementerian yang menganggotai Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Sehingga tahun 2024, terdapat 12 Kementerian yang menawarkan program TVET melibatkan 1,345 institusi TVET. Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) pula merupakan bahagian yang dipertanggungjawabkan sebagai peneraju bagi semua program TVET yang ditawarkan di KPM. Penawaran program TVET KPM meliputi program di Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
Kumpulan Sasaran
Secara umumnya, kumpulan sasar murid bagi program TVET KPM ini adalah lepasan Tingkatan 3 dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat dan cenderung kepada bidang kemahiran.
Keistimewaan Mengikuti Pengajian Program TVET KPM
Lepasan program TVET KPM mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal (hands-on) dengan kompeten. Kelebihan kemahiran praktikal dan latihan industri (on the job training) ini dapat membuka peluang kepada lepasan TVET KPM mendapatkan pekerjaan. Dengan penerapan modul keusahawanan di dalam struktur kurikulum sedia ada, lepasan TVET KPM juga berupaya menjadi pencipta pekerjaan sebagai usahawan muda. Laluan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi juga telah disediakan dengan kerjasama institusi TVET yang lain, Malaysian Technical University Network (MTUN), Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Hits : 47839