Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Pemilihan Wakil Malaysia Ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri Tahun 2021

SEREMBAN:  8-9 September 2021, Seramai 27 orang pemidato wakil dari IPTA/IPTS seluruh negara telah bertanding mewakili institusi masing-masing bagi memilih wakil Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri Tahun 2021. Pertandingan diadakan secara dalam talian anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan USIM.

IPG KPM menghantar 5 orang wakil dan 2 orang telah terpilih ke pertandingan akhir iaitu Siti Nur Shafika binti Md. Fakharuzi dan Nur Syamimi binti Ros Azlan, kedua-duanya dari IPGKampus Bahasa Melayu.  Pelajar Siti Nur Shafika binti Md. Fakhruzi telah menjadi JOHAN bagi pertandingan ini manakala Nur Syamimi binti Ros Azlan mendapat tempat ke-5.

Siti Nur Shafika binti Md. Fakhruzi akan mewakili Malaysia di dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri Tahun 2021 yang akan diadakan pada bulan November 2021 nanti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani berkata, “Kelainan yang diketengahkan pada sesi pemilihan wakil pada kali ini adalah semua proses dijalankan secara dalam talian melalui platform Zoom dan hanya hakim pertandingan sahaja yang hadir secara fizikal di lokasi penganjuran.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang dalam pemilihan wakil Malaysia ke PABM Piala Perdana Menteri 2021. Semoga program ini terus dijalankan sebagai wahana dalam usaha memupuk dan mengukuhkan jati diri anak bangsa terhadap negara yang kita cintai dan mendokong perjuangan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia,” katanya lagi.

Mohd. Rushdan berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup sesi pemilihan tersebut bagi mewakili Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi.

Johan pertandingan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 berserta trofi, di ikuti naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi manakala tempat ketiga hingga kelima menerima hadiah wang tunai RM300 berserta trofi.

 

PABM 1

PABM 2

Hits : 2773