Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Memugar jiwa pendidik, asah gaya fikir - Berita Harian, 16 Jun 2019

Citra seorang guru selalu dinilai berdasarkan keberkesanan dan kecekapan mereka melaksanakan peranan dan tanggungjawab keguruan. Oleh sebab itu, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) secara khusus menyatakan guru profesional perlu memiliki tiga ciri profesionalisme.

Ciri itu ialah pengetahuan asas perihal pengajaran dan pembelajaran, autonomi untuk membolehkan guru membuat keputusan dalam perkara berkaitan dengan tugasan dan kerja buat mereka serta mempunyai rangkaian rakan sejawat yang memberi mereka peluang berkongsi maklumat dan mendapatkan sokongan yang perlu untuk mengekalkan kualiti pengajaran mereka.

Justeru, kehebatan guru profesional itu bergantung kepada kekuatan ketiga-tiga ciri profesionalisme ini. Bagaimanapun, pengalaman menunjukkan guru yang berdedikasi tinggi dan konsisten dalam melaksana peranan mereka sebagai guru memiliki suatu ciri lain yang tidak dapat dijangkau dan digambarkan oleh ciri profesionalisme OECD.

Ciri ini yang saya kategori sebagai ciri non profesionalisme. Apakah ciri non profesionalismeitu? Dalam konteks ini, Jalaludin ar-Rumi berkata: “Ada satu hal di dunia ini yang tidak boleh dilupakan. Jika engkau melupakan semua hal kecuali hal itu, maka tiada sebab untuk engkau berasa risau. Sebaliknya jika engkau melakukan dan mengingati semua hal lain, tetapi melupakan hal itu, engkau sebenarnya tidak melakukan dan menyelesaikan apa pun”.

Perumpamaan seorang raja yang mengirim engkau ke wilayah tertentu dengan tugasan khusus. Engkau pergi dan melakukan ratusan tugas lain, tetapi tidak menyelesaikan tugasan khusus yang diamanahkan itu, bererti engkau tidak melakukan apa pun.

Tanggungjawab moral ini tidak berciri profesionalisme, tetapi lebih kepada non-profesionalisme. Dan antara sifat penting non profesionalisme dalam kes ini tanggungjawab moral guru, ia tidak boleh diperoleh dari luar. Tanggungjawab moral hanya dapat dipupuk dan mekar dari dalam diri seorang guru.

Saya mengenal pasti sekurang-kurang ada tiga kepercayaan asasi mengenai kemanusiaan yang dapat membentuk jiwa warga pendidik. Kepercayaan pertama sebagai teras, yang kedua dan ketiga menjadi pelengkap kekuatan jiwa pendidik. Tiga kepercayaan itu berkaitan dengan kemuliaan insan, potensi terpendam dan boleh dididik.

Sama ada guru sedar atau tidak, tanggungjawab moral pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan menjaga dan meningkatkan kemuliaan insan - karamah insaniah.

Di Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memberikan gambaran berkenaan. Selepas itu baharu digubal kerangka utama penterjemahan pendidikan formal berdasarkan tiga komponen tonggak pendidikan, iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran. Ketiga-tiga komponen ini sebenarnya wahana utama warga pendidik untuk menzahirkan kepercayaan asasi mereka dalam meningkatkan harga diri anak didik mereka.

Dalam hal ini, sistem pendidikan kita boleh sahaja mempunyai kurikulum yang memenuhi keperluan masa depan, guru profesional yang mengguna pakai pedagogi terkini dan pentaksiran yang canggih, tetapi sekiranya guru tidak memiliki kepercayaan asasi yang mantap dan segar bahawa tanggungjawab moral mereka adalah memperjuangkan kemuliaan anak didik mereka, saya percaya kualiti sistem pendidikan tidak dapat melonjak jauh dan pantas.

Umpamanya, bagaimanakah kita boleh berasa selesa apabila ada anak didik kita tidak dapat membaca selepas enam tahun persekolahan? Pada hal kemahiran itulah kelak yang membantunya mengangkat harga diri. Sejauh manakah hati nurani kita sebagai guru bergetar kerana tanggungjawab moral kita tercabar apabila saban tahun sekitar 90,000 (dari lebih 400,000) murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam subjek matematik tidak menguasai tahap minimum?

Potensi terpendam

Pada hal penguasaan matematik antara ilmu pengetahuan penting yang bakal menentukan masa depan kerjayanya. Oleh itu, kepercayaan penuh mengenai kemuliaan insan perlu menjadi tanggungjawab moral warga pendidik kerana inilah teras kepada jiwa pendidik.

Semua manusia dianugerahkan Tuhan dengan potensi terpendam serupa supaya mereka berupaya mengembangkan kemanusiaannya dan melunaskan amanah penciptaannya. Banyak potensi manusia dikenal pasti, tetapi masih banyak lagi yang belum diteroka. Dan antara potensi itu ialah keupayaan manusia untuk belajar.

Manusia dapat belajar dari masa lalunya, tetapi jauh lebih penting mereka juga mampu membayangkan masa depan dan menzahirkannya. Meskipun semua manusia mempunyai potensi serupa, tetapi mereka tetap unik. Keunikan yang ditentukan oleh perbezaan kecenderungan, bakat dan kecerdasan yang mereka miliki.

Maka ramuan daripada ketiga-tiga kecenderungan, bakat dan kecerdasan itu yang akan membezakan kaedah dan kadar kecepatan seseorang memperoleh pengetahuan dan kemahiran. Pelbagai nama dikemukakan untuk menjelaskan perbezaan kecenderungan, bakat dan kecerdasan ini.

Dalam konteks ini juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan pentaksiran psikometrik pelbagai kecerdasan sebagai salah satu instrumen pentaksiran (dari empat jenis pentaksiran) dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Persoalannya, sebagai pendidik sejauh manakah kita benar-benar yakin bahawa anak didik kita mempunyai potensi terpendam dan pelbagai gaya pembelajaran? Apakah keyakinan itu diterjemahkan menjadi amalan pedagogi atau kerja harian kita dalam amalan pengajaran-pembelajaran yang terbeza?

Dan sejauh manakah pula potensi terpendam anak didik kita dioptimumkan perkembangannya? Pasti jawapannya hanya guru sendiri dapat menjawabnya kerana kepercayaan asasi itu adalah bisikan hati atau dhamir guru.

Istilah boleh dididik itu sebenarnya memberikan isyarat bahawa wujud potensi terpendam ‘pendidikan’ dalam setiap diri individu tidak kira individu itu akhirnya berpendidikan atau tidak berpendidikan. Oleh sebab itu, kepercayaan kewujudan potensi terpendam boleh dididik menyebabkan guru sentiasa optimis terhadap tanggungjawabnya.

Walaupun setiap orang memiliki potensi terpendam yang sama, perkembangan potensi terpendam itu berbeza kerana perbezaan gaya dan kadar kecepatan pembelajaran mereka. Sebagai guru, kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh mendidik anak didik kita supaya mereka memiliki pengetahuan, kemahiran, adab dan nilai yang sesuai dengan zamannya serta dapat menyempurnakan keperluannya sebagai manusia sejahtera.

Oleh itu, guru perlu percaya bahawa asas persamaan, sekali gus perbezaan kejadian manusia menjadi hujah bahawa mereka boleh dididik seoptimumnya dengan cara yang sesuai dan tempoh masa berbeza-beza.

Dalam konteks mengiktiraf bahawa setiap murid itu boleh dididik, KPM memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Kurikulum ini memerlukan guru memastikan semua anak didiknya menguasai tahap minimum dalam subjek yang diajar.

Sebenarnya, keperluan itu menjadi tanggungjawab asasi guru mata pelajaran melunaskannya supaya tidak berlaku defisit pembelajaran apabila anak muridnya beralih ke tahap seterusnya.

Sudah tentu guru tidak terhenti setakat penguasaan tahap minimum sahaja kerana untuk memupuk kecemerlangan murid, guru juga perlu mengoptimumkan keupayaan kog-nitif setiap anak didiknya, terutama dalam penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi.

Apatah lagi kemahiran itu adalah kemahiran teras dalam era revolusi perindustrian keempat. Oleh yang demikian, untuk menjayakan tanggungjawab berkenaan, guru perlu mengembalikan keseronokan belajar dan pembelajaran bermakna kepada anak didiknya. Semua ini menuntut guru membudayakan pembelajaran-pengajaran terbeza yang berpusatkan murid bagi menggantikan pendekatan klasik pengajaran berpusatkan guru.

Sebagai kesimpulan, jiwa pendidik ialah kepercayaan asasi yang membentuk gaya fikir dan amalan seorang guru. Kepercayaan yang mewarnai tanggungjawab moral profesion keguruan. Guru berjiwa pendidik mempunyai kepercayaan mendasar anak didiknya sebagai seorang manusia.

Sekurang-kurangnya ada tiga kepercayaan asasi mengenai kemanusiaan yang dapat membentuk jiwa pendidik guru yakni kemuliaan insan, potensi terpendam dan boleh dididik.

Demi cinta dan tanggungjawab moral yang menjadi amanah profesion keguruan, marilah kita rakan guru sekalian bertekad untuk sentiasa memugar jiwa pendidik dalam diri kita.

 

Oleh Datuk Dr Amin Senin

Penulis adalah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Hits : 5039