Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Malaysia International Young Inventors Olympiad (MIYIO) 2023

Malaysia International Young Inventors Olympiad (MIYIO) 2023
 
06 – 08 Oktober 2023 | Jumaat - Ahad
 
Malaysia International Young Inventors Olympiad (MIYIO) merupakan satu pertandingan rekacipta dan inovasi sains Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang bertujuan untuk mengumpulkan saintis-saintis muda dari sekolah-sekolah seluruh Malaysia dan juga dari luar negara. Program ini merupakan platform perkongsian dan pengembangan hasil kajian penyelidikan sains dan kejuruteraan para murid dari segenap pelusuk dunia. Program ini telah melahirkan ramai murid yang berbakat besar di dalam dunia penyelidikan dan telah juga menghasilkan projek-projek sains dan kejuruteraan bertaraf antarabangsa. Tujuan asal pertandingan ini diadakan adalah untuk mengembangkan pengaplikasian pengetahuan ilmu sains dan kejuruteraan yang menjurus kepada penyelesaian masalah dan penggunaan teknologi terkini dalam kehidupan seharian. Program MIYIO ini juga diharap dapat membantu meningkatkan minat dan memberi kesedaran kepada para murid tentang kebaikan dan kepentingan sains dan kejuruteraan dalam urusan kehidupan seharian. Dengan lonjakan misi dan visi SBP, pertandingan rekacipta dan inovasi sains SBP telah diberi penjenamaan semula serta dinaiktaraf ke peringkat antarabangsa dengan pelibatan projek-projek sains dan kejuruteraan dari sekolah-sekolah seluruh Malaysia serta sekolah dari luar negara di samping menambahbaik struktur program, penghakiman dan penganugerahan.
 
Kini, objektif utama MIYIO adalah untuk mencungkil bakat murid - murid di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan inovasi dan kejuruteraan, memperkembangkan potensi dan kemahiran saintifik murid dalam membuat kajian terkini, meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi dalam kalangan murid serta mengembangkan kebolehan dan penciptaan murid dalam bidang sains dan kejuruteraan ke platform yang lebih tinggi. Selain itu, MIYIO juga diharap dapat membantu melonjakkan nama SBP di peringkat antarabangsa sebagai pusat perkembangan intelek murid selaras dengan misi dan visi SBP di samping menggalakkan para guru untuk membimbing serta melahirkan murid yang berupaya menghasilkan inovasi terkini.
 
Bertemakan “IGNITING CURIOSITY, CULTIVATING INNOVATION”, pertandingan MIYIO 2023 anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah diadakan di Kelantan mulai 6 - 8 Oktober 2023. Di samping itu, penganjur bersama bagi karnival MIYIO pada tahun ini terdiri daripada Universiti Malaysia Kelantan (USM), Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Pendidikan Guru Kota Bharu (IPGKB) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra. Pada tahun ini juga, pihak penganjur MIYIO 2023 telah menerima penyertaan peserta dari luar negara iaitu Thailand, Indonesia dan China bagi mempertandingkan rekacipta dan inovasi negara masing-masing.
 
 

Hits : 4882