Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJKT Ladang Tumbuk & Perasmian Naik Taraf Dewan Sekolah
22 Disember 2024 | Ahad
Telah berlangsung pada pagi ini Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJKT Ladang Tumbuk dan Perasmian Naik Taraf Dewan Sekolah. Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs Dr Mohd Azam bin Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Pendidikan menekankan mengenai peri penting usaha untuk sentiasa meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat dan di semua jenis sekolah. Ini termasuk menerusi peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan Tingkatan 6.
Beliau turut mengumumkan inisiatif terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meluaskan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar Tingkatan 6 bermula pada Sesi Persekolahan 2025/2026 dengan kadar sebanyak RM150 bagi setiap pelajar.
Peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam yang pertama kali dilaksanakan ini adalah cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan.
Inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan KPM untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan 6. Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan 6.
Peluasan BAP kepada pelajar Tingkatan 6 dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar bagi sesi persekolahan 2025/2026 dengan implikasi kewangan sebanyak kira-kira RM15 juta.
Agihan BAP kepada pelajar Tingkatan 6 sedia ada akan dilaksanakan pada bulan Februari 2025 manakala pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima BAP pada bulan Julai 2025.
Hits : 52