Bahagian Teknologi Pendidikan
- Apakah itu projek 1BestariNet?
- 1BestariNet adalah projek yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications. Di bawah projek ini, sebanyak 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di Malaysia akan dilengkapkan dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya yang menyediakan sambungan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada Penyelesaian Pembelajaran Bersepadu.
- Apakah maksud Penyelesaian Bersepadu?
- Di bawah projek 1BestariNet, sekolah-sekolah akan dilengkapkan dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pentadbiran dijalankan melalui Persekitaran Pembelajaran Maya (Frog VLE) yang berasaskan internet, yang boleh diakses di sekolah atau di mana juga, dengan adanya sambungan Internet (Internet Yes 4G).
- Apakah itu Frog VLE?
- Ia adalah sistem pembelajaran berasaskan laman web yang menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional. Sebagai contoh, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara para pelajar boleh menghantar kerja rumah mereka dan menyemak markah yang diperolehi melalui Frog VLE. Ibu bapa pula boleh berkomunikasi dengan guru-guru dan pihak pentadbir sekolah boleh menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui Internet. Frog VLE boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa dengan adanya sambungan Internet.
- Kenapa perlu menggunakan Frog?
- Frog VLE adalah platform pembelajaran maya yang telah memenangi anugerah dan mudah digunakan, selain direka khas untuk pengguna. Dibangunkan di United Kingdom dengan rekod pencapaian selama 13 tahun, Frog memfokuskan kepada usaha untuk memudahkan kehidupan guru dan pelajar sekaligus untuk mempertingkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran. Sebagai tambahan, Frog VLE juga disepadukan dengan rakan kandungan dan alat pendidikan lain yang berkuasa, termasuklah Google Apps untuk Pendidikan dan Khan Academy, untuk memajukan lagi teknik pengajaran dan pembelajaran. FrogAsia, penyedia penyelesaian Frog VLE, turut bekerjasama rapat dengan golongan pendidik tempatan dan organisasi-organisasi pendidikan untuk membekalkan sistem pembelajaran bertaraf dunia yang releven dengan rantau Asia. Selain teknologi, penekanan turut diberi kepada usaha untuk melengkapkan dan membimbing sekolah-sekolah tentang penggunaan Frog sebagai satu peralatan yang boleh menambah-baik sekolah secara keseluruhannya.
- Bagaimanakah Frog VLE mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran?
- Frog VLE dibina dengan mengutamakan penggunanya. Sasarannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berkuasa ke atas pemilikan pendidikan mereka serta bersedia bersaing dalam ekonomi global yang berasaskan pengetahuan.
Menjimatkan masa dan usaha : Frog memberikan guru alatan yang mudah untuk melaksanakan tugas seperti merancang pengajaran, menandakan tugasan dan menguruskan kalendar akademik.
Hubung dan kolaborasi : Frog VLE juga menghubungkan para pendidik di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi sumber dan idea.
Belajar di luar sempadan : Oleh kerana Frog adalah berasaskan awan (cloud-based),pembelajaran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, di mana jua. Malah, disebabkan pelajar boleh melakukan penyimpanan awan, beg sekolah yang berat bakal menjadi sejarah.
Menarik dan Menambat Perhatian : Sistem Frog yang mudah digunakan membolehkan guru dan pelajar mencari kandungan pendidikan di internet (video, imej, sumber pendidikan) dan menjadikannya sebagai satu laman web, tanpa perlunya kepakaran teknikal. Ini membolehkan guru menghasilkan sumber-sumber pengajaran yang menarik dan menambat perhatian bagi memenuhi gaya pembelajaran berbeza, dengan hanya beberapa klik mudah.
Platform pembelajaran yang terbukti : Frog mempunyai rekod pencapaian selama 13 tahun dan digunakan di lebih 700 buah sekolah di United Kingdom dan di seluruh dunia. Sebagai tambahan, Frog VLE turut disepadukan dengan rakan kandungan dan alat pendidikan lain yang berkuasa, termasuklah Google Apps untuk Pendidikan dan Khan Academy, untuk memajukan lagi teknik pengajaran dan pembelajaran.
- Apakah yang dimaksudkan dengan Pembestarian Sekolah?
- Mulai tahun 2006, konsep Sekolah Bestari yang sebelum ini terhad kepada 88 sekolah diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara melalui konsep Pembestarian Sekolah. Semua inisiatif ICT yang sedang dilaksanakan oleh KPM dimanfaatkan. Proses ini dijalankan secara berterusan untuk meningkatkan tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan sekolah (PdT) secara interaktif menggunakan ICT sebagai pengupaya.
Pembestarian sekolah merupakan proses berterusan transformasi semua sekolah meningkatkan penggunaan ICT yang berkualiti dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan dan pentadbiran sekolah (PdT) supaya murid menjadi modal insan berupaya menghadapi cabaran abad ke-21 dan berfungsi dalam masyarakat berpengetahuan (knowledge society).
- Apakah matlamat Pembestarian Sekolah?
- Matlamat Pembestarian Sekolah adalah seperti berikut:
- Menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
- Meningkatkan kadar pembelajaran berpusatkan murid
- Membangunkan modal insan yang berkemahiran ICT untuk memenuhi keperluan masa hadapan
- Apakah kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam Pembestarian Sekolah
- Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang ditekankan kepada sekolah bestari ialah yang bercorak terarah kendiri mengikut kadar individu, akses kendiri, terarah kendiri dan reflektif. Ini berlaku dengan adanya sokongan teknologi pelbagai media dan jaringan talian internet. Pembelajaran juga berubah daripada berpusatkan guru kepada berpusatkan murid. Murid dididik dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan disemai dengan nilai-nilai murni.
- Selain itu, guru digalakkan menggunakan strategi pembelajaran abad ke-21 seperti Pembelajaran Kolaboratif, Pembelajaran Berasaskan Projek, Pembelajaran secara Inkuiri-Penemuan, Penyelesaian Masalah, Pembelajaran Masteri, Konstruktivisme, Pembelajaran Penerokaan dan sebagainya
- Apakah Portal EduwebTV?
- EduwebTV merupakan portal yang mengandungi bahan PdP berbentuk video dan audio pendidikan serta slaid sumbangan guru-guru yang boleh diakses melalui www.eduwebtv.com
- Apa itu Program NILAM ?
- NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan. Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
- Pada tahun 2016 Mesyuarat Profesional KPM Bil. 08/2016 pada 3 Mac 2016 telah meluluskan Kertas Cadangan Penambahbaikan dan Penjenamaan Semula Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).
- Ini adalah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca yang berkualiti dalam kalangan murid. Program NILAM yang ditambahbaik ini membolehkan murid membaca pelbagai jenis bahan sama ada buku atau bahan bukan buku. Ini termasuklah sumber bahan bacaan digital.
Hits : 41427