*1. Apakah itu pendidikan sivik?*
Pendidikan sivik membawa maksud ilmu berkaitan tatarakyat dan bagaimana menggerakkan seseorang warganegara itu supaya bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
*2. Apakah tujuan pendidikan sivik diperkenalkan?*
Pendidikan sivik penting sebagai sebahagian daripada usaha untuk membentuk generasi Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme, mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai warganegara serta memiliki akhlak mulia dan keperibadian tinggi dalam pelbagai konteks termasuk diri, keluarga, sekolah, masyarakat dan negara.
*3. Bilakah pendidikan sivik dilaksanakan?*
Pendidikan sivik telah mulai dilaksanakan pada Jun 2019.
*4. Adakah pendidikan sivik ini melibatkan semua sekolah?*
Pelaksanaan pendidikan sivik ini melibatkan semua prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
*5. Bagaimanakah pendidikan sivik ini dilaksanakan?*
Pelaksanaan pendidikan sivik dilakukan secara bersepadu dengan memberi penekanan kepada aspek literasi dan amali sivik dan pelaksanaannya melibatkan di dalam dan di luar bilik darjah.
*6. Apakah yang dimaksudkan dengan aspek literasi dan amali sivik?*
Literasi sivik adalah rangkuman kepada aspek pengetahuan kewarganegaraan, sosioemosi kewarganegaraan dan tindakan kewarganegaraan yang dimasukkan dalam kurikulum dan perlu dikuasai murid.
Semua perkara ini dirangkumkan dalam kurikulum melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Pendidikan sivik akan dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran berkenaan.
Pendidikan sivik juga diajar kepada anak-anak di prasekolah selamat 30 minit.
Amali sivik pula memberi fokus kepada aspek praktikal amalan sivik melalui pengaplikasian pengetahuan dalam perhimpunan sekolah, aktiviti kokurikulum dan program sekolah yang lain.
*7. Adakah pelaksanaan pendidikan sivik ini akan membebankan guru dan murid?*
KPM sentiasa memastikan sebarang pelaksanaan terhadap penambahbaikan pendidikan negara tidak melibatkan pertambahan tugas kepada guru atau memberikan bebanan kepada murid.
Pelaksanaan pendidikan sivik ini tidak melibatkan sebarang pertambahan masa dalam jadual harian sekolah kerana ia diaplikasikan kepada mata pelajaran sedia ada seperti yang disenaraikan di perenggan 6.
*8. Bagaimana KPM dapat memastikan pelaksanaan pendidikan sivik ini dapat berjalan lancar?*
Bagi memastikan pelaksanaan pendidikan sivik ini berjalan lancar, KPM telah menyediakan Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik yang merangkumi Modul Exemplar untuk kurikulum, Manual Perhimpunan Sekolah dan Amalan Nilai Murni serta Manual Amalan Pendidikan Sivik dalam Kokurikulum.
Guru-guru boleh menggunakan semua bahan-bahan ini sebagai asas untuk melaksanakan pengajaran sivik, namun dalam masa sama KPM sentiasa terbuka untuk guru-guru menggunakan daya kreativiti masing-masing dalam menyampaikan ilmu.
Hits : 56010