Selamat Datang ke PORTAL KPM

Aduan SISPA

Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi - Berita Harian, 17 Mei 2019

Oleh Dr. Maszlee Malik

SEMPENA Hari Guru pada 16 Mei yang amat bermakna kali ini, saya merakamkan ucapan setulus penghargaan kepada semua guru. Sambutan kali ini, berlangsung di Pulau Pinang dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sesungguhnya, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa bagi melahirkan insan berilmu yang mempunyai jati diri beridentitikan Malaysia. Walau siapa pun kita pada hari ini, ingatlah jasa, pengorbanan dan perjuangan guru yang mendidik kita semua menjadi insan berjaya.

Guru kita memberi sumbangan sangat besar kepada kejayaan kita pada hari ini. Tanpa sumbangan guru, kita sudah tentu tidak akan berada di tempat kita berada pada hari ini. Marilah kita semua ucapkan kepada guru kita, ‘Terima Kasih Cikgu’!

Tema Hari Guru tahun ini - ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’. Tema ini diilhamkan daripada sebuah sajak Obor Hemah hasil karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said untuk meningkatkan martabat guru sebagai ejen penting dalam memperteguhkan peradaban bangsa melalui pendidikan.

Gelaran ‘Obor Hemah’ diberikan kepada guru menggambarkan kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion keguruan. Peradaban bangsa di Malaysia akan terus utuh dan mantap hanya apabila guru dapat memastikan generasi dilahirkan adalah generasi holistik cemerlang yang mampu memenuhi keperluan kepesatan pembangunan negara dan keperluan global.

Dalam konteks ‘Obor Hemah’ batin suci hati nurani seseorang berupaya melahirkan anak didik yang glokal, iaitu berakar nasional dan berakal internasional. Aspirasi negara terhadap guru pembina negara bangsa dalam menyinari pertiwi menuntut komitmen tinggi daripada semua warga pendidik.

Dalam konteks ini, guru berperanan sebagai pembentuk masyarakat berilmu, pemupuk perpaduan, berupaya melahirkan masyarakat berkeyakinan tinggi, mempunyai nilai etika kukuh dan mampu bersaing di peringkat global.

Di sini saya ingin berkongsi petikan puisi indah untuk guru, Obor Hemah karya Datuk A Samad Said: ‘Guru adalah awan indah terbang rendah, melimpahkan hujan pada musim gersang, menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah, ia renjis embun pada tanah bakat, suara insan ketika manusia kalah, sepi yang syahdu dalam dunia resah.

‘Guru... minda segar dan kukuh akar menghidupkan batin yang bersih, di daerah dunia cemar kasih dan pada ketika tak tersangkakan, walau diambilnya kembali semua buku, sempat ditinggalkannya asas ilmu. Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung budi, manusia yang taqwa, obor hemah kehidupan bangsa’.

Sumbang khidmat bakti

Sesungguhnya, guru adalah pengajar, pendidik atau pembimbing yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.

Guru insan berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan. Contohnya, kita sangat berbangga atas kejayaan guru pada peringkat antarabangsa, iaitu guru cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Cikgu K A Razhiyah Mohamed Khutty, yang menerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 pada Persidangan Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) di Hong Kong pada 24 Februari lalu.

Beliau juga tersenarai antara 50 guru dunia dalam anugerah Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London, United Kingdom (UK). Tahniah Cikgu K A Razhiyah! Saya bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Dr Muhamad Khairul Anuar Hussin, SMK Taman Universiti 2, Johor Bahru, Johor yang menjadi wakil tunggal negara tersenarai Top 40 finalists dalam Global Teacher Prize 2019.

Beliau yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, antaranya sudah menganjurkan program intervensi awal membabitkan kunjungan ke rumah keluarga OKU di beberapa daerah di Johor.​ Selain ibu bapa, guru dianggap individu penting yang banyak membantu murid sehingga berjaya ke peringkat tertinggi.

Di sebalik kejayaan murid dalam sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban segala-galanya dalam memastikan murid itu berjaya. Terima kasih kepada semua guru yang memberi sumbangan besar atas kemenjadian murid sepanjang setahun yang lalu.

​Saya sebagai Menteri Pendidikan amat prihatin terhadap masalah kebajikan guru bagi memastikan guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan. Mendidik anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang supaya dapat menanam perasaan cinta pada ilmu pengetahuan.

KPM berusaha keras mengembalikan tugas hakiki guru, iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itu, kita mengenal pasti punca tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi relevan, malah perlu dimansuhkan. Hal ini dilaksanakan dengan mengambil kira input dari akar umbi, iaitu guru mengajar di sekolah.

Dalam kepesatan ekonomi zaman milenium ini, elemen kreativiti dan inovasi harus ditekankan sejak di bangku sekolah agar Malaysia dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan terus berdaya saing untuk berdiri sama tinggi dengan negara maju lain di dunia.

Saya yakin guru akan terus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membina ilmu dan menyempurnakan akhlak dalam kalangan pendidik, di samping turut mencetuskan idea baharu mengenai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan murid berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.

Selaras usaha menyediakan anak kita dengan cabaran global, kita perlu mengubah pendekatan pendidikan daripada berorientasikan akademik kepada pemupukan nilai berbentuk sejagat seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sesungguhnya majlis sambutan Hari Guru mencerminkan kesepakatan dan komitmen KPM dalam meraikan peranan dan sumbangan guru yang menjadi tulang belakang dalam mendidik anak bangsa bermula di peringkat prasekolah dan rendah hingga lepasan menengah. Kita akan terus bersama semua guru bagi membuktikan sokongan, dukungan dan semangat untuk melestarikan bidang pendidikan secara holistik demi memartabatkan sistem pendidikan negara.

Jasamu guru tidak ternilainya, laksana obor yang menyinari pertiwi, memberi sinar, harapan, mengharumi serta memacu kegemilangan kepada negara bangsa. Terima kasih cikgu!

Penulis adalah Menteri Pendidikan

Hits : 3717